IBADAT KORBAN
Definisi
Apa yang disembelih daripada unta, lembu, kambing atau kibas
semata-mata menghampirkan diri kepada Allah pada hari raya. Asal
disyarakkan ibadat korban ini melalui firman Allah dalam ayat 2 surah
al-Kauthar yang bermaksud : Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu
dan berkorbanlah. Maksud "nahr" dalam ayat ini mengikut pandangan yang
paling ramai dan sohih adalah membawa maksud korban binatang-binatang
korban.
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan
Muslim yang bermaksud bahawa nabi S.A.W telah mengorbankan dua kibas
yang mempunyai tanduk yang besar. Baginda menyembelih keduanya dengan
tangan baginda sendiri. Baginda menyebut nama(Allah) dan bertakbir.
Baginda meletakkan kedua luntut baginda di atas bahagian (berhampiran)
tengkok keduanya.
Hikmat daripada pensyariatan ibadat korban
1.Ibadat korban sama sebagaimana ibadat yang lain adalah untuk menghampirkan diri kepada Allah.
2. Menghidup dan mengingatkan semula pengorbanan yang dilakukan oleh nabi Ibrahim dan anaknya nabi Ismail.
3. Menghidupkan suasana bantu-membantu antara yang kaya dan miskin
dengan ketibaan hari raya dengan sedikit bantuan daripada
daginmg-daging korban yang disedekah.
4. Mengeratkan lagi ukhwah Islamiah yang terbina dan menyiramkan ruh bermasyarakat.
Hukum ibadat korban
Hukumnya adalah sunat muakkad(digalakkan) tetapi ia akan menjadi wajib dengan 2 sebab iaitu :
Pertama : Dia mengisyaratkan kepada binatang yang berada di
bawah peliharaannya yang baik untuk dikorbankan maka dia berkata : "Ini
adalah binatang korbanku" atau "Aku akan berkorban dengan kambing ini"
sebagai misalnya. Jika dia berkata sebagaimana tersebut maka dia
diwajibkan berkorban.
Kedua : Dia mewajibkan dirinya
untuk mendekatkan diri kepada Allah dengan korbannya seperti katanya :
"Untuk Allah atasku untuk berkorban". Maka dengan ini maka dia
diwajibkan berkorban yang mana ia menjadi hukum sebagaimana orang
bernazar.
Mereka yang disuruh untuk melakukan ibadat korban
Disunatkan melakukan ibadat korban ini kepada mereka yang mempunyai syarat-syarat berikut :
1. Islam dan tidak diminta kepada orang kafir
2. Telah baligh dan berakal yang mana tidak dituntut kepada yang belum baligh atau pun gila
3. Mempunyai kemampuan yang mana mempunyai kewangan yang berlebihan
daripada nafkah untuk dirinya sendiri dan mereka yang berada di bawah
tanggungannya samada makanan, tempat tinggal dan pakaian sepanjang hari
raya dan hari-hari tasyriq iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah.
Binatang yang disyarakkan untuk dijadikan korban
Tidak sah untuk dijadikan binatang korban selain daripada unta,
lembu(termasuk kerbau), kambing(termasuk biri-biri dan kibas dan
seumpamanya). Ini adalah berdasarkan kepada maksud firman Allah dalam
ayat 34 surah al-Haj : Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan
penyembelihan (korban), supaya mereka menyebut nama Allah terhadap
binatang ternakan yang telah direzekikan oleh Allah kepada mereka. Maka
Tuhanmu ialah Tuhan yang Maha Esa kerana itu berserahlah dirimu
kepadaNya. Dan berilah khabar gembira kepada mereka yang tunduk dan
patuh(kepada Allah). Binatang ternakan(al-An'am) tidak terkeluar
daripada maksud jenis binatang yang tiga tadi. Ini kerana tidak pernah
diriwayatkan samada daripada nabi S.A.w sendiri atau pun sahabat
tentang binatang korban yang selain daripada tiga jenis tadi.
Mengenai binatang yang paling utama dari segi kelebihannya ada ulama'
yang mengatakan unta kemudian lembu dan seterusnya kambing dan ada pula
yang berpendapat kambing yang lebih afdhal.
Dibolehkan
melakukan ibadat korban dengan berkongsi tujuh bahagian daripada seekor
unta atau pun lembu tetapi bagi kambing hanya untuk seorang sahaja.Ini
adalah mengikut kepada perbuatan Rasulullah S.A.W dalam hadis yang
diriwayatkan oleh imam Muslim daripada Jabir telah berkata : Kami telah
melakukan ibadat korban bersama Rasulullah S.A.W pada tahun Hudaibiah
seekor unta daripada tujuh bahagian dan lembu daripada tujuh bahagian.
Kita juga diharuskan berkongsi satu daripada tujuh bahagian
samada daripada seekor unta atau lembu walau pun dengan niat yang
berbeza seperti ada yang berniat korban, ada yang berniat aqiqah, ada
untuk dijual dan ada untuk nazar dan sebagainya. Cuma hukum untuk
daging tersebut mengikut apa yang diniatkan oleh seseorang.
Syarat binatang korban
Pertama : Umur
-Bagi unta mesti genap enam tahun dan setengah berpendapat sudah
cukup hanyan lima tahun.Manakala lembu atau kerbau apabila berumur tiga
tahun dan setengah berpendapat cukup dua tahun. Sementara kambing dan
seumpamanya telah genap dua tahun atau pun bersalin gigi iaitu gugur
gigi depannya walaupun belum cukup dua tahun iaitu biasanya enam bulan.
Dalilnya sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh oleh imam Ahmad
daripada Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah
S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sebaik-baik binatang korban itu
ialah kambing yang telah bersalin(gigi).
Kedua : Selamat daripada sebarang penyakit
- Iaitu mesti selamat daripada sebarang aib yang boleh menyebabkan
kurangnya daging. Tidak sah korban kambing yang gila, tempang yang
jelas, mempunyai kecacatan atau penyakit dan terpotong sebahagian
daripada badannya.
Imam Tarmizi dan Abu Daud telah meriwayatkan
daripada al-Barra' bin 'Azib daripada nabi S.A.W telah bersabda yang
bermaksud : Empat perkara yang tidak dikira pada binatang korban :
keaiban yang jelas keaibannya, sakit yang jelas penyakitnya, tempang
yang jelas ketempangannya dan sakit gila.
Diqiaskan daripada
empat kecacatan atau keaiban tadi maka dikira apa yang seumpamanya
merupakan perkara yang boleh menyebabkan korban tidak dikira.
Waktu korban
Bermula daripada selepas terbitnya matahari hari raya eidil Adha
dengan kadar cukup untuk menunaikan dua rakaat hari raya dan dua
khutbah hari raya. Waktu ini berterusan sehinggalah terbenam matahari
hari tasyriq iaitu hari 11,12 dan 13 Zulhijjah.
Waktu yang
paling afdhal (lebih baik) untuk melakukan penyembelihan binatang
korban adalah sebaik selesai menunaikan solat sunat hari raya eidil
Adha sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim:
Permulaan apa yang kami mulakan dengannya hari ini adalah solat,
kemudian kami pulang maka kami sembelih korban. Maka sesiapa yang
melakukan demikian maka dia telah menurut sunnah kami. Dan sesiapa yang
sembelih sebelum itu maka sesungguhnya ia merupakan daging yang
diberikan kepada ahlinya bukannya daripada ibadat pada sesuatu....Makna
khabar ini ialah sesiapa yang sembelih binatang korban sebelum masuk
waktu solat hari raya eidil Adha dan berlalunya masa yang memungkinkan
dia melakukan solat padanya maka sembelihannya tidak dikira ibadat
korban tetapi menjadi sembelihan biasa sahaja.
Hadis yang
diriwayatkan oleh Ibnu Habban daripada Jubir bin Mut'im telah berkata :
Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Dan setiap hari-hari
tasyriq merupakan hari sembelih...
Apa yang perlu dilakukan dengan daging korban
Pertama : Sekiranya korban itu wajib seperti nazar maka daging
korban itu tidak boleh dimakan oleh oarng yang melakukan korban itu dan
juga semua ahli keluarga yang berada di bawah tanggungannya. Sekiranya
ada dikalangan mereka tersebut makan daripada daging korban itu maka
dia wajib menggantikannya samada dengan daging lain atau pun harga
daging dengan kadar yang telah dimakan.
Kedua : Sekiranya
korban sunat maka dia boleh memakan daging korbannya lebihan daripada
apa yang telah disedekah.Yang lebih afdhal dia makan sedikit daripada
daging korban itu sebagai mengambil berkat dan disedekahkan yang
selebihnya. Untuk makan satu pertiga, satu pertiga untuk disedekah
kepada orang miskin dan satu pertiga selebihnya untuk dihadiahkan
kepada sahabat handai dan jiran-jirannya walaupun mereka kaya.Tetapi
pemberian kepada mereka yang kaya untuk dimakan bukannya untuk jualan
berlainan dengan pemberian kepada orang miskin adalah sebagai pemilikan
samada untuk dia makan atau dibuat apa sahaja yang boleh memberi
manfaat kepada mereka.
Asal daripada hukum tersebut menurut
kepada maksud ayat 36 surah al-Haj : Dan telah Kami jadikan untuk kamu
unta-unta itu sebahagian dari syiar Allah, kamu memperolehi kebaikan
yang banyak padanya, maka sebutlah olehmu nama Allah ketika kamu
menyembelihnya dalam keadaan berdiri , Kemudian apabila telah roboh
(mati) maka makanlah sebahagiannya dan berikanlah makan oarng yang rela
dengan apa yang ada padanya (yang tidak meminta-minta) dan orang yang
meminta-minta. Demikianlah Kami telah menundukkan unta-unta itu kepada
kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.
Bagi mereka yanmg
melakukan korban juga diminta memberi sedekah kulit binatang korbannya
atau pun dia sendiri yang menggunanya. Dia dilarang menjualnya atau pun
memberinya kepada penyembelih sebagai upah bukannya sedekah. Ini
adalah kerana perkara itu boleh menyebabkan berlakunya kekurangan
daripada binatang korban dengan merosakkannya pada perkara yang
dilarang. Apa yang diriwayatkan oleh imam al-Baihaqi daripada nabi S.AW
telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang menjual kulit sembelihan
maka tidak dikira korban baginya.
Ibadat Aqiqah
PENGENALAN AQIQAH
Pengertian Aqiqah dari segi bahasa:
Aqiqah
menurut bahasa ertinya “rambut yang tumbuh di atas kepala bayi yang
dibawanya waktu lahir.” Demikian pendapat ‘Ubaid, Ashmu’i dan
Zamakhsyari.
Antara definisi lain;
Aqiqah
menurut bahasa ertinya `memotong’ . Pada asalnya ialah rambut yang
terdapat pada kepala bayi ketika bayi tersebut keluar dari rahim
ibunya, rambut itu dinamakan dengan aqiqah kerana ianya harus dipotong (
dicukur ).
Menurut
Istilah pula aqiqah ialah Haiwan yang disembelih kerana bayi atau
untuk bayi yang dilahirkan. Dinamakan sembelihan itu dengan aqiqah
adalah kerana haiwan tersebut disembelih pada hari mencukur rambut
kepala bayi itu.
Pengertian Aqiqah Menurut Syara`:
Menurut
istilah hukum syara’, aqiqah ialah “penyembelihan haiwan tertentu
untuk kepentingan anak, disamping mencukur atau memotong rambutnya dan
diberi nama untuk anak itu.”
Aqiqah
dalam pengertian syara` ialah binatang ternakan yang berkaki empat
(bahimatul an`am) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut kepala
anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh atau
selepasnya.
Dalam
bahasa Arab, kata bahimatul an’aam (binatang ternakan) adalah termasuk
unta, lembu, kerbau,biri-biri,kibas dan kambing, bukan yang lain. [Al
Jabari, 1994]
SEJARAH ASAL-USUL IBADAH AQIQAH
Diriwayatkan
oleh Buraidah bahawa ” Pada zaman Jahiliyyah, apabila kami mendapat
seorang anak lelaki, maka kami menyembelih seekor kambing, maka kami
mencukur kepala bayi tersebut, lalu kepalanya kami sapu dengan darah
kambing yang disembelih itu”.Menurut riwayat Ibnu Sakan pula ”
Orang-orang Jahiliyyah meletakkan kapas yang telah dicelup dengan darah
aqiqah lalu kapas yang penuh dengan darah tersebut disapu ke ubun-ubun
bayi yang baru saja dilahirkan itu.
Setelah
datangnya Islam, perkara itu tidak dibenarkan oleh Rasullullah s.a.w.
Baginda saw menyuruh menggantikannya dengan meletakkan haruman kasturi
pada kepala bayi yang baru dilahirkan itu.
HUKUM AQIQAH
Hukum
melakukan aqiqah itu adalah sunat mu’akkadah iaitu sunat yang sangat
digalakkan oleh Islam. Sebagaimana perbuatan Nabi Muhammad saw ketika
Baginda mengaqiqahkan cucundanya Hassan dan Hussain alaihimassalam.
Ianya bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah
ditanyakan kepada Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam, lalu Baginda
saw bersabda yang maksudnya :
“Allah
tidak menyukai kederhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka menyebut
nama itu (aqiqah). Baginda bersabda: “Barang siapa yang dikurniakan
baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya maka
sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya dan
bagi anak perempuan seekor kambing.”
[HR. Abu Daud]
Maksud
hadis daripada perkataan (“suka atau ingin” menyembelihkan untuk
anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan aqiqah, melainkan jika
aqiqah itu dinazarkan barulah ianya dipanggil aqiqah wajib.
Imam Syafi’e berpendapat melaksanakan aqiqah adalah sunat muakkad.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud;
“Berserta
anak itu ada aqiqah, maka alirkanlah darah untuknya, dan singkirkanlah
sesuatu yang membahayakan daripadanya.” [HR. Tirmizi]
“Seorang
anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ke tujuh, dan
dicukur serta diberi nama.” [HR. Ahmad dan Tirmizi]
Rasulullah
s.a.w. bersabda : ” Sesungguhnya Rasulullah s.a.w menuntut untuk
dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya
dan diaqiqahkannya.” [HR. Riwayat Tirmizi]
Imam Malik menyatakan bahawa, hukum aqiqah ini adalah perintah yang tidak dapat diperselisihkan lagi.
JENIS HAIWAN DAN KADAR AQIQAH
Haiwan
yang digunakan untuk perlaksanaan ibadah aqiqah perlu memenuhi
syarat-syarat yang serupa dengan haiwan-haiwan untuk ibadah korban.
1. Kambing, biri-biri dan kibas – melebihi satu tahun
2. Lembu dan Kerbau- melebihi dua tahun
3. Unta- melebihi lima tahun
Haiwan-haiwan
ini hendaklah terdiri daripada haiwan ternak(Bahimatul An’aam)-yang
mempunyai empat kaki- dalam keadaan tidak cacat, tidak buta, tidak
bunting dan tidak terlalu kurus.
Menurut
Imam Malik,Asy-Syafi’e,Ahmad dan jumhur ulama’ , bahawa aqiqah adalah
sah dengan penyembelihan haiwan empat kaki(Bahimatul An-`aam) seperti
unta, lembu, kerbau, kambing dan biri-biri dan kibas (sama seperti
ibadah korban). Pelaksanaan penyembelihan haiwan tersebut di dalam
ibadah aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti berikut;
1. Unta berumur 5 tahun dan masuk tahun ke 6.
2. Lembu atau kerbau berumur 2 tahun masuk tahun ke 3.
3. Kambing atau biri-biri berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.
4. Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.
5. Haiwan tersebut juga disyaratkan tidak cacat.
Manakala,rusa,
kijang dan kancil tidak termasuk dalam kategori Bahimatul An’aam.Maka
ketiga-tiga haiwan tersebut(rusa,kijang dan kancil) tidak dibolehkan
untuk dijadikan sebagai haiwan aqiqah.
Yang
lebih utama(Afdhal) untuk kadar aqiqah bagi seorang anak lelaki ialah 2
ekor kambing dan untuk anak perempuan seekor kambing, kerana ada hadis
riwayat Aisyah yang maksudnya:
“Rasullulah s.a.w. memerintahkan
kepada kami supaya menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dengan dua ekor
kambing dan untuk perempuan seekor.”
Perlaksanaan
ibadah aqiqah dianjurkan baik untuk anak lelaki mahupun anak
perempuan, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w. yang bemaksud;
” Anak
lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor kambing dan anak perempuan
diaqiqahkan dengan seekor kambing.” [HR. Ahmad & Tirmizi].
Rasulullah
bersabda; ” Rasulullah s.a.w telah memerintahkan kepada kami untuk
mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing dan anak perempuan
dengan satu ekor kambing.” [HR. Ibnu Abi Syaiban].
Hadis di atas secara keseluruhannya menunjukkan dua perkara;
Pertama; baik anak lelaki mahupun perempuan, sama-sama syariatkan supaya dilaksanakan aqiqah.
Kedua; perbezaan bahawa anak lelaki dengan 2 ekor kambing sedangkan anak perempuan dengan satu ekor kambing.
Walaubagaimanapun,anak
lelaki sebaik-baiknya(afdhal) diaqiqahkan dengan 2 ekor
kambing,manakala anak perempuan pula seekor kambing. Akan tetapi seekor
kambing sudah memadai bagi tujuan menunaikan tuntutan ibadah aqiqah
tersebut, ini kerana Rasulullah s.a.w. sendiri melaksanakan aqiqah
untuk cucu baginda dengan seekor kambing sahaja.
Dalam
sebuah hadis diriwayatkan; ” Bahawa Rasulullah s.a.w telah mengaqiqah
Hassan dan Hussain dengan satu ekor biri-biri.” [HR. Abu Daud].
Aqiqah
dua ekor kambing bagi anak lelaki ini bukanlah merupakan suatu
kemestian, kerana Rasulullah s.a.w telah membuat aqiqah Hasan dan
Husin, masing-masing seekor kibas.
Haiwan aqiqah seperti lembu, kerbau dan unta boleh dikongsi sehingga 7 bahagian bersamaan 7 ekor kambing.
Apabila
ibu bapa itu tidak mampu membuat aqiqah anaknya, ketika berusia 7
hari, bolehlah diperbuatnya ketika umur anak 14 hari. Kemudiannya
ketika umur 21 hari. Jika tidak boleh, maka sunat diperbuatnya hingga
anak itu dewasa (baligh).
Dalam
menentukan waktu yang terbaik untuk seseorang itu melaksanakan aqiqah,
kita perhatikan pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal yang menyatakan bahawa
penyembelihan aqiqah dilaksanakan pada hari ketujuh, jika tidak dapat
maka pada hari keempat belas, jika tidak dapat juga maka lakukanlah
pada hari kedua puluh satu. Adapun jika pada hari-hari tersebut tidak
dapat dilaksanakan kerana tidak berkemampuan, maka penyembelihan boleh
dilakukan pada hari-hari lain yang memungkinkannya melaksanakan aqiqah
tersebut.
Rasulullah
s.a.w bersabda; ” Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang
disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta diberi nama.” [HR.
Ahmad dan Tirmizi].
Apabila anak sudah dewasa, maka sunat bagi ibu bapa membuat korbannya, tidak membuat aqiqahnya.
Menurut
satu golongan, jika seorang anak sudah dewasa, tetapi belum dibuat
aqiqahnya oleh ibu bapanya, maka sunat baginya membuat aqiqah dirinya
sendiri.